SALAM UKHUWAH

Ahad, 18 Julai 2010

MAti itu pASti............



* Setiap insan akan menemui ajalnya masing-masing, bila, dimana, bagaimana keadaannya. Semua itu telah termaktub disisi Allah swt.

* Hari ini kita masih lagi dikurniakan oleh Allah swt untuk merasa saki baki hidup ini, masih dapat lagi menyaksikan keindahan alam maya, dapat melihat pelbagai warna dan pemandangan, melihat sang suria, bulan dan bintang-bintang yang menghiasai segala ruang angkasa.

* Menikmati pelbagai nikmat serta makanan dan hidangan yang lazat dan enak. Kita juga telah dapat merasai betapa indahnya belaian kasih sayang, cinta dan saat-saat kebahagiaan.

* Seterusnya kita dapat mengenali siapa Pencipta kepada semuanya ini termasuk alam yang maha luas ini. Lalu kita dapat menikmati kasih dan sayang-Nya serta bernaung di bawah lindungan dan rahmat-Nya.

* Inilah sebenarnya nikmat terbesar yang telah Allah kurniakan kepada kita selepas nikmat Iman & Islam. Kita seharusnya menggandakan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah kerana bukan sahaja telah menjadikan kita, bahkan telah memilih kita menjadi umat-Nya yang beriman dan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya. Sehingga kita dapat mengenali Pencipta kepada alam semesta ini yang begitu indah dan teliti sekali.

* Justeru itu, janganlah kita leka & lalai dengan segala nikmat yang yang telah dikurniakan. Dunia ini hanya bersifat sementara sahaja, yang kekal adalah diakhirat sana. Persiapkanlah bekalan untuk kesana.... Firman Allah swt :

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim 7)

Sabda Nabi saw : Perbandingan dunia dengan akhirat seperti seorang yang mencelupkan jari tangannya ke dalam laut lalu diangkatnya dan dilihatnya apa yang diperolehnya. (HR. Muslim dan Ibnu Majah)

* Oleh itu janganlah kita menganggap kehidupan berakhir dengan kematian di dunia sahaja, bahkan di akhirat nantilah kehidupan yang kekal selama-lamanya. Firman Allah swt :

"Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun". (An-Nisaa' 77)

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya), Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-Zalzalah 7,8)

* Kita semua akan dibangkitkan, dihimpun beramai-ramai bermula dari Nabi Adam as, dibicara di mahkamah Allah swt, akan disoal setiap perbuatan yang dilakukan, di hitung amal masing-masing, setiap orang akan meniti titian sirat, dan akhirnya ditentukan syurga atau neraka. Firman Allah swt :

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yaa Siin 65)

* Kita semua akan merasai mati. Firman Allah swt :

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (A-li 'Imraan 185)

* Permainan & perhiasan Semata-mata.

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadiid 20)

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (Al-Kahf 46)

* Orang yang tidak mempedulikan urusan Akhirat.

Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan. (Hud 15,16)

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan. (Yunus 7,8)

* Datangnya kematian walau dalam keadaan sekali manapun.

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (An-Nisaa' 78)

* Kita tidat dapat menghindarinya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan". (Al-Jumu'ah 8)

* Kematian telah ditetapkan tempatnya.

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. (Luqman 34)

* Telah ditentukan waktunya, tidak dapat ditunda atau dipercepat.

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan. (Al-Munafiquun 11)

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. (Al-A'raaf 34)

* Akhirnya, marilah sama-sama kita menilai diri masing-masing, adakah kita semua sudah melaksanakan tuntutan Agama dalam kehidupan seharian. Menjaga segala batas-batasnya, halal-haram, aurat dan semua yang berkaitan. Kalau diri sudah terjaga, lihat pula pada keluarga, sanak-saudara & masyarakat amnya. Firman Allah swt :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan. (At-Taubah 71)

* Islam bukan agama yang sempit, zalim dan sebagainya. Bahkan islam datang untuk membawa rahmat bagi sekalian manusia. Yang mencorakkan kehidupan dengan nilai-nilai yang murni, berbeza dengan kehidupan barat yang tiada halal dan haram dalam kehidupan mereka, hanyalah sekadar mencari dunia semata-mata.

*Justeru itu, marilah sama-sama kita memperbaiki diri kita, keluarga dan masyarakat dari terhanyut dengan segala permainan dunia ini. Mudah-mudahan menjadikan kita hamba yang lebih bersemangat dalam beribadah kepadaNya, bukan yang berputus asa dengan rahmatNya. Firman Allah swt :

Katakanlah : "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar 53)

* Insya Allah, mudah-mudahan kita tergolong dikalangan dari hamba-hambanya yang istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan Allah swt. Selalulah berdoa kepadaNya agar sentiasa diberi kekuatan taufiq dan hidayah dalam menghadapi ujian yang semakin hari semakin mencabar ini.

Sabda Nabi saw : Janganlah seorang di antara kamu mengharapkan kematian karena musibah yang menimpanya dan apabila dia memang harus mengharapkan, sebaiknya dia berkata: Ya Allah! Hidupkanlah aku selama kehidupan itu yang terbaik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu yang terbaik bagiku. (Shahih Muslim No.4840)

* Mintalah padaNya :

Tetapkanlah hati-hati kami di atas Agamamu Ya Allah...

Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Al- Faatihah 6,7)

* Nabi saw mengingatkan supaya kita berlindung dari empat perkara dan disuruh membacanya setiap kali selepas tahiyyat akhir.

أللهم إنا نعوذبك من عذاب جهنم ومن عذاب القبر ومن فتنة المحيا والممات ومن شر المسيح الدجال

Sabda nabi saw :

إذا فرغ أحدكم من التشهد فليتعوذ بالله من أربع. من عذاب جهنم ومن عذاب القبر ومن فتنة المحيا والممات ومن شر المسيح الدجال

Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir maka berlindunglah kamu dari empat perkara. Daripada azab api neraka, azab siksaan kubur, segala fitnah kehidupan dan kematian dan kejahatan fitnah dajjal. (Hr Bukhari Muslim)

اللهم إنا نسألك زيادة في الدين، وبركة في العمر، وصحة في الجسد، وسعة في الرزق، وتوبة قبل الموت، وشهادة عند الموت، ومغفرة بعد الموت، وعفوا عند الحساب، وأمانا من العذاب، ونصيبا من الجنة، وارزقنا النظر إلى وجهك الكريم، اللهم ارحم موتانا وموتى المسلمين واشفي مرضانا ومرضى المسلمين، اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات، اللهم ارزقني قبل الموت توبة وعند الموت شهادة وبعد الموت جنة، اللهم ارزقني حسن الخاتمة، اللهم ارزقني الموت وأنا ساجد لك يا ارحم الراحمين، اللهم ثبتني عند سؤال الملكين، اللهم اجعل قبري روضة من رياض الجنة ولا تجعله حفرة من حفر النار، اللهم إني أعوذ بك من فتن الدنيا، اللهم أني أعوذ بك من فتن الدنيا، اللهم أني أعوذ بك من فتن الدنيا، اللهم قوي إيماننا ووحد كلمتنا وانصرنا على أعدائك أعداء الدين، اللهم شتت شملهم واجعل الدائرة عليهم، اللهم انصر إخواننا المسلمين في كل مكان، اللهم ارحم أبائنا وأمهاتنا واغفر لهما وتجاوز عن سيئاتهما وأدخلهم فسيح جناتك، اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك، سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم سبحان الله وبحمده عدد خلقه ورضى نفسه وزنة عرشه ومداد كلماته، وبارك اللهم على سيدنا محمد صلى الله عليه و على اله وسلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan